AA
CONTOH KARANGAN
Karangan Jenis Bergambar
Karangan Bergambar Tunggal
Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan gambar yang telah disediakan.
Setiap gambar perlu dipastikan bila , di mana dan waktu supaya penulisan lebih jelas
Perlu meneliti seluruh gambar dengan mendalam . Pastikan apa yang berlaku, apa yang dikerjakan, dan suasana.
Sewaktu menulis , pastikan diri terlibat di dalam di dalam gambar, bukan sebagai pencerita dari luar atau dijadikan karangan penerangan.
Ceritakan peristiwa yang ada di dalam gambar tersebut dalam bentuk karangan.
Karangan Bergambar Bersiri
Karangan hendak berpandukan gambar-gambar yang telah disediakan.
Sebaik-baiknya jadikan diri kamu terlibat sama dengan cerita yang hendak ditulis.
Setiap perenggan berdasarkan sekeping gambar .
Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam gambar-gambar tersebut mengikut urutan atau susunan.
Boleh menyertakan tajuk , tetapi tidak menjadi kemestian.
Karangan Jenis Autobiografi
1. Karangan jenis ini biasanya memerlukan kamu membayangkan diri anda sebagai sesuatu benda secara terperinci.
2. Ada yang mengisahkan riwayat hidup penulis sendiri dari awal hingga akhir.
3. boleh ditulis dalam bentuk cerita atau penerangan / rencana
4. Aturan membina karangan
tempat asal - nama - dilahirkan dimana - proses pembuatan - dibungkus
perjalanan dari kilang hingga ke tempat pameran - di mana dipamerkan - bertukar milik
proses penggunaan dengan tuan baru - akhir hayat
perasaan - sedih atau gembira
5. boleh gunakan dialog untuk bercakap sesama rakan , bukan dengan manusia.
6. paparkan nilai-nilai murni
Pengenalan berasal dari Jepun dibuat di sebuah kilang besi waja terdiri daripada besi waja, getah dan plastik
Perenggan ke-2 disebut basikal dipamerkan berasa sungguh gembira
Perenggan ke-3 menaiki sebuah kapal dagang berasa sungguh bangga
Perenggan ke-4 nasib malang kapal karam dijumpai oleh penyelam dijual sebagai besi buruk
Penutup menjadi bahan terbuang
kesal kerana tidak dapat berbakti
Aku berasal dari ’Negara Matahari Terbit“. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar.
Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan pleastik.
Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain
dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.
Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh
seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.
Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun
kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.
Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.
Karangan Jenis Biografi
Karangan jenis ini mengisahkan perihal riwayat hidup orang lain dari mula hingga ke akhir antaranya :
tokoh-tokoh sejarah
pemimpin tanahair
tokoh sukan
dan lain-lain Dalam menulis karangan jenis ini, aspek latar belakang, riwayat hidup, pendidikan, sumbangan, kejayaan dan jasa-jasa seseorang itu diambilkira sebagai isi karangan.
Anda harus tahu benar tentang watak yang hendak ditulis itu dari awal hingga ke akhir.
Kamu tidak digalakkan menulis perkara-perkara yang sensitif sehingga boleh menimbulkan keaiban atau menjatuhkan maruah orang yang ditulis.
Pengenalan rumah pakcik tidak jauh dari kebun getah
kepunyaan sendiri
Perenggan ke-2 keluar dari rumah awal pagi
menunggang basikal
Perenggan ke-3 memakai topi berlampu suluh
kerana masih gelap menoreh dari sebatang pokok ke sebatang pokok
Perenggan ke-4 susu getah dikumpul
dimasukkan ke dalam baldi kecil dipindahkan ke sebuah tangki besar
Penutup kerja siap pada pukul 12.00
hantar susu getah ke pusat penjualan
Pakcik saya penoreh getah. Rumahnya tidak jauh dari sebuah kebun getah. Kebun getah itu
kepunyaan dirinya sendiri.
Setiap hari, pagi-pagi lagi dia sudah keluar dari rumahnya untuk pergi menoreh. Dia menunggang
sebuah basikal.
Pakcik saya memakai topi yang berlampu suluh di kepalanya. Tujuannya supaya kerja-kerja emnoreh
getah dapat dilakukan walaupun keadaan masih gelap. Dia menoreh getah dari sebatang pokok ke sebatang pokok getah yang lain sehinggalah kerja-kerja menoreh itu selesai dijalankan.
Sejam kemudian, pakcik saya akan mengumpul susu getah yang telah bertakung di dalam sebuah
mangkuk setiap pokok getah yang ditorehnya tadi. Susu getah dikumpul ke dalam sebuah baldi kecil. Apabila baldi kecil itu penuh, dia akan memindahkan s7su getah itu ke dalam sebuah takungan besar.
Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, pekerjaan itu pun selesai. Pakcik saya akan menghantar susu
getah yang telah terkumpul itu ke pusat penjualan.
Karangan Jenis Dialog / Temu Ramah / Perbualan / Wawancara
terbahagi kepada dua jenis
i. dialog dan perbualan ( lebih berkisar kepada persoalan biasa seperti bertanya khabar dan perbualan menerusi telefon.) ii. wawancara dan temu ramah ( lebih kepada perbualan rasmi, pertanyaan kepada orang yang lebih dihormati , atau ingin tahu tahu sesuatu perkara )
seperti jenis karangan lain, karangan jenis ini juga mempunyai tajuk / topik yang utama
setiap karangan ini mempunyai sekurang-kurangnya dua watak atau lebih
sebelum memulakan karangan boleh disertakan keterangan tetapi janganlah terlalu panjang.
Lihat contoh :
Abu diminta oleh guru kelas menemu ramah Guru Besar sebelum beliau bersara. Hasil temu ramah itu akan dimuatkan di dalam majalah sekolah. Berikut merupakan hasil temu ramah tersebut.
Format karangan ini nama watak ditulis selari di sebelah kiri selepas nama watak dibubuh tanda titik bertindih ( : ) juga dalam keadaan selari contoh :
Nama A : Assalamualaikum, Makcik.
Nama B : Waalaikummussalam
Nama A : Apa khabar Makcik ?
Nama B :
Mulakan perbualan dengan salam sejahtera
anda perlu menggunakan kata ganti nama diri yang sesuai. Jika orang yang dibawa berbual itu berumur gunakan panggilan ”Encik…, ”Tuan…, ataupun ”Makcik…
pastikan anda tahu tentang hal atau perkara yang akan kita tulis untuk bahan temuramah / dialog.
boleh gunakan bahasa kiasan atau peribahasa dan kata singkatan seperti ’tak“ , ’dah“
soalan yang dikemukakan adalah ringkas , tidak rumit dan berbelit-belit. Dalam dialog itu, kedua-dua pihak harus bertanya, memberi pendapat atau pandangan.
Jawapan yang diberi kepada soalan adalah panjang lebar
elakkan penggunaan soalan yang cuma memerlukan jawapan ”ya… atau ”tidak….
soalan-soalan disusun dengan baik supaya terus berkesinambungan.
kawal jumlah perkataan yang digunakan ( lebih kurang 80 patah perkataan )
tanda baca yang digunakan harus sesuai dengan nada percakapan. Hati-hati dengan ayat tanya kerana ia berakhir dengan tanda tanya. ( ? )
mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah )
soalan yang diikuti dengan jawapan lengkap di beri markah penuh
Akhiri perbualan dengan mengucapkan terima kasih kepada yang ditemuramah.
CONTOH KARANGAN
RANGKA.
PENDAHULUAN - mengucapkan tahniah
ISI
a) Siva berharap agar kejayaannya memberi semangat kepada pelajar bukan melayu yamg lain untuk mempelajari bahasa melayu.
b) menyatakan perasaan kagum -bertanya tentang cara dia mempelajari bahasa melayu
c) Siva menyatakan cara dia mempelajari bahasa melayu.
PENUTUP
Siva memberikan dorongan agar sama-sama menguasai bahasa kebangsaan
( Setelah memperkenalkan diri kamu , maka kamu mengemukan soalan-soalan kepada Encik Karim )
Murid : Encik, sebenarnya bagaimana encik mengasuh kedua-dua anak kembar encik Faizul dan
Faizal hingga berjaya menjadi doktor ?
En. Karim : Oh ! Saya pun tidak tahu bagaiman hendak menceritakannya. Hanya saya kira Tuhan
merestui kami sekeluarga.
Murid : Boleh saya tahu bagaimana anak-anak encik ini belajar ?
En. Karim : Mmmmmmm, kalau fasal belajar , mereka memang sungguh berusaha. Hampir sepanjang
waktu mereka asyik dengan buku sahaja. Kalau menonton televisyen itu jarang sekali.
Kerap kali kalau menonton pun mereka menonton siaran berita sahaja.
Murid : Di mana mereka bersekolah ?
En. Karim : Kesemuanya bersekolah di Sekoleh Kebangsaan Darau. Kemudian bersekolah menengah
di Sek. Men. Seri Nering, Jerteh. Semuanya mendapat pangkat satu di peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia. Semasa itulah mereka mendapat tawaran dan meneruskan pelajaran
di Tingkatan Enam iaitu di Sekolah Tinggi, Jerteh. Apabila mereka lulus mereka belajar di
Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Nah ! Sekarang mereka sudah lulus dan menjadi doktor.
Murid : Apakah perasaan encik sekarang ?
En. Karim : Sudah tentu gembira sekali. Kami sekeluarga bersyukur di atas kejayaan gemilang itu.
Murid : Baiklah encik , saya berterima kasih kerana sudi melapangkan masa untuk ditemubual.
En. Karim : Terima kasih kembali.
( Berjabat tangan dengan murid )
Tip :
Sediakan LIMA SOALAN terbaik. Setiap soalan diikuti oleh jawapan dan huraian sebanyak 20 patah perkataan KECUALI pendahuluan.
Karangan jenis Catatan Diari
Ia merupakan karangan yang mencatatkan kegiatan harian atau peristiwa penting yang berlaku kepada seseorang.
Tarikh, hari atau masa peristiwa berlaku hendaklah dinyatakan. Ini berpandukan kepada soalan. Lihat contoh soalan dibawah :
Persatuan anda telah membuat lawatan ke Kuala Lumpur. Anda diminta menyediakan catatan mengenai lawatan itu.
Berdasarkan soalan , lawatan ke Kuala Lumpur biasanya mengambil masa beberapa hari . Oleh itu format catatan mesti ditulis dalam hari.
Kamu menyambut ketibaan Hari Raya Puasa dengan suasana meriah. Tuliskan cacatan diari kamu bagaimana anda menyambut dan merayakan hari tersebut.
Berdasarkan soalan ini format catatan ialah masa atau jam.
Catatan hendaklah ringkas, tepat dan padat
Tulis catatan mengikut urutan peristiwa
Ayat-ayat seharusnya pendek dan mudah difahami
Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi
memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.
Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.
cereka
1. cerita yang hendak ditulis hendaklah berdasarkan tajuknya.
2. cuba menulis cerita yang dapat menarik minat pembaca.
3. jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan kamu tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.
4. jangan menulis sampai meleret-leret, berhati-hatilah dengan peruntukkan masa yang diberikan Pengenalan tinggal sendirian
baca buku cerita
Perenggan ke-2 mendengar suara riuh-rendah
menjenguk ke luar suatu kebakaran berlaku
Perenggan ke-3 ramai orang mula berkumpul
cuba membantu memadamkan kebakaran membantu memunggahkan barang
Perenggan ke-4 aku terus menelefon pihak bomba
ahli-ahli bomba tiba
Penutup kebakaran dapat dikawal
berasa sungguh gembira
pengalaman
situasi
Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
1. karangan tidak berformat
2. berkebolehan membuat ramalan berdasarkan permulaan atau akhir cerita yang diberi
3. berbentuk cerita, khayalan, pengalaman, ataupun kehidupan binatang.
4. elakan terpesong tema cerita lain daripada tema yang diberi
5. memahami maksud cerita yang diberi dan mempunyai gambaran yang jelas tentang sesuatu cerita itu.
6. setiap cerita mempunyai nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, tolong-menolog, kasih sayang atau apa saja yang boleh membawa pengajaran.
7. walaupun cerita hanya rekaan, tetapi cerita itu mesti boleh diterima akal.
Karangan Jenis Fakta / Rencana
ditulis dalam bentuk format biasa
karangan ini memerlukan kita mempunyai pengetahuan yang luas.
jadi perlu banyak membaca buku, majalah, surat khabar dan sebagainya
fahamkan kehendak soalan . Contohnya karangan yang bertajuk ”Tuliskan apa yang kamu tahu tentang burung…. Karangan ini mungkin disalah tasirkan sebagai burung yang murid sukai atau burng peliharaan murid.
pastikan anda benar-benar tahu dan mempunyai fakta yang betul tentang tajuk.
senaraikan fakta-fakta / isi yang diketahui dan susun mengikut kepentingannya.
setelah mengemukakan pengenalan , tulis bahagian isi
pastikan anda dapat menyediakan 4 isi
kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi
setiap isi haruslah dihuraikan berserta contoh yang sesuai dengan menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami. Jika boleh sertakan kesannya.
masukkan perangkaan atau peristiwa untuk menguatkan kenyataan.
setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup.
gunakan bahasa yang tepat, usah leret-leret.
Rangka Karangan :
Pendahuluan - alat komunikasi rekaan sains
- penggunaannya meluas
Perenggan ke-2 - digunakan di pejabat-pejabat
- menyimpan data-data
- menjalankan tugas dengan cepat
Perenggan ke-3 - pengunaan komputer di pusat-pusat perubatan
- mengesan penyakit
- membantu mengesan penyakit
Perenggan ke-4 - pengunaan komputer dalam pelajaran
- mengajar Matematik, Sains dan Bahasa
Penutup - keuntungan menggunakan komputer
- jimat masa dan wang
- bantu manusia menyelesaikan masalah yang sukar
Tip :
Isi karangan berbentuk fakta adalah senang dicari secara peta minda.
Karangan Jenis Perbincangan
1. Karangan jenis ini membicarakan dua sudut secara serentak iaitu sesuatu isu dan persoalan.
2. setelah mengemukakan pengenalan ( maksud atau definisi tajuk )
3. perlu mentafsirkan tajuk sama ada benar atau salah, baik atau buruk, tetapi pendapat menjurus ke arah tajuk
4. tulis bahagian isi ( pastikan anda dapat menyediakan 4 isi )
5. setiap isi haruslah dibincangkan ( yang penting didahulukan )
6. kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi ( perlu penghujahan yang benar dan logik )
7. setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup ( berupa penegasan terhadap tajuk ).
Pendahuluan :
ulasan kamu mengenai tempat tinggal kamu
pilihlah yang mana sesuai
isi
i. alam sekitar
udara , bunyi , air
ii. jimat perbelanjaan
sumber makanan yang murah dan segar
iii. hidup berjiran
tolong-menolong , bekerjasama
iv. suasana lebih aman
jauh daripada kesibukan , jenayah , kecurian
Penutup
penegasan kepada tajuk
Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar. Di kampung banyak keaslian dan
kecantikan alam semulajadi yang tidak terdapat di bandar.
Saya suka tinggal di kampung keran adi sini terdapat pokok-pokok yang menghijau , burung-burung
berkicauan dan sungai-sungai yang jernih airnya. Di kampung suasananya aman dan damai. Udaranya bersih dan nyaman , jauh daripada pencemaran udara. Oleh itu tinggal di kampung lebih sihat daripada tinggal di bandar.
Tinggal di kampung boleh menjimatkan wang. Kita boleh menggunakan air yang tidak berbayar dan air perigi yang sejuk dan jernih untuk di minum, membasuh, dan mandi. Kita juga boleh menanam dan makan sayur-sayuran yang segar.
Orang-orang di kampung hidup tolong-menolong , bergotong-royong dan bertegur-sapa di antara satu sama lain. Dengan ini hidup lebih bermakna dan dapat menghindarkan diri dari pengaruh-pengaruh yang boleh merosakkan dan menjatuhkan moral.
Suasana yang tenteram dan damai , udara yang segar dan penduduknya yang berbudi bahasa
menyebabkan tinggal di kampung lebik baik daripada di bandar.
Karangan Jenis Laporan.
Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.
Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami.
Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau lojik.
Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.
Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha.
Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.
Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.
Gunakan bahasa yang ringkas dan padat
Tajuk Laporan : Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris.
atau ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah.
Boleh ditulis dalam dua barid jika tajuk tertalu panjang.
Isi Laporan : Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.
Pengakuan pelapor: Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terskhir.
Tarikh : Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.
Tandatangan pelapor Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.
Nama Pelapor : Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.
Jawatan Pelapor : Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma di
hujungnya .
Seterusnya ditulis nama persatuan yang diwakili
Contoh Karangan Laporan.
Rangka:
1.Pendahuluan:
penubuhan persatuan-anggota persatuan-tujuan penubuhan
2.Isi
a) kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang
b) ceramah -pensyarah dari USM
c) gotong-royong-membersihkan kawasan sekolah
d) lawatan ke Taman Ular 3.Penutup -berterima kasih kepada guru penasihat. - mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format, - tolak 3 markah ) a] tajuk / perkara ( jika tiada - tolak 1 markah )
b] nama pelapor ( jika tiada - tolak 1 markah ) - boleh ditulis dalam bentuk karangan biasa / catatan
Karangan Jenis Surat Rasmi
Surat rasmi ditulis untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut antaranya :
a. memohon pekerjaan
b. membuat aduan / bantahan / cadangan
c. membuat rayuan
d. membuat jemputan rasmi
e. menempah barangan
f. meminta kebenaran
g. atau apa-apa yang melibatkan urusan rasmi
1. Surat rasmi adalah salah satu karangan yang memerlukan kita sensitif dengan penggunaan tanda baca seperti penggunaan huruf besar dan huruf kecil. ( Anda boleh dapatkan bantuan daripada guru. )
2. Karangan ini juga merupakan karangan yang penuh dengan format tersendiri yang mesti kamu ikuti. Ini memudahkan anda melakukan kesalahan serta mudahlah markah anda melayang. Ia juga memudahkan anda mendapat markah jika anda mahir dengan formatnya.
3. Perhatikan format di bawah.
Rangka
1. alamat pengirim ( permulaan perkataan dalam huruf besar ) ( jangan lupa tanda koma dihujungnya ) kemudian selang satu baris
2. buat satu baris panjang melintang kemudian selang satu baris
3. nama ( jawatan ) serta alamat penerima ( permulaan perkataan dalam huruf besar )( alamat yang terakhir digariskan )
4. tarikh ( selari dengan alamat terakhir penerima ) ( bulan ditulis dalam huruf besar )
5. kata ganti diri penerima ( Tuan, )
6. perkara / tajuk ( permulaan perkataan dalam huruf besar dan digariskan )
7. perenggan pertama tujuan menulis surat ini ( tiada jarak perenggan, lihat contoh )
8. perenggan ke-2 - bola lama tidak dapat digunakan lagi
- memerlukan bola baru
( bagi perenggan kedua dan seterusnya mempunyai nombor serta tanda noktah. Jarakkan sedikit sebelum menulis ) 9. perenggan ke-3 berharap agar permohonan diluluskan
supaya latihan tidak terganggu
10. perenggan ke-4 mempunyai masa yang singkat sebelum hari perlawanan 11. penutup terima kasih
12. tandatangan pengirim ( boleh ditulis nama secara bersambung atau tidak )
13. nama penuh ( huruf besar ) dalam kurungan
14. jawatan jika ada ( permulaan perkataan dalam huruf besar )
15. berhati-hati dalam penggunaan tanda baca seperti huruf besar , tanda noktah dan koma.
Pasukan Bola Jaring,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau,
22000 Jerteh.
Encik Musa Bin Hassan,
Setiausaha Sukan,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau,
22000 Jerteh. 24 APRIL 1998.
Tuan,
Memohon Sebiji Bola Baru Bagi Menggantikan Bola Lama
Saya sebagai Ketua Pasukan, Pasukan Bola Jaring Sek. Keb. Seri Kenangan Darau ingin memohon sebiji bola yang baru bagi menggantikan yang lama.
2. Bola yang sedia ada itu telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Kami memohon bola baru itu melicinkan lagi latihan yang sedang kami jalankan sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.
3. Kami berharap permohonan kami ini akan segera diluluskan. Dengan ini latihan yang kami adakan setiap hari itu tidak tergendala.
4. Untuk pengetahuan tuan, kami hanya mempunyai masa dua minggu lagi untuk berlatih sebelum turun ke padang untuk menghadapi perlawanan.
Sekian, terima kasih
Yang benar,
Widyawati
( WIDYAWATI BINTI HUSAIN )
Ketua Pasukan,
Pasukan Bola Jaring,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau.
- mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format, - tolak 3 markah ) a] alamat ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
b] tarikh ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
c] panggilan hormat ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
d] tajuk / perkara ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
e] tanda tangan dan nama ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
- isi mengikut perenggan biasa
Karangan Jenis Surat Tidak Rasmi ( biasa )
Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi:
Surat tidak rasmi ialah surat yang biasanya ditulis kepada ahli keluarga atau sahabat handai.
Biasanya ditulis dengan tujuan unttuk memberitahu sesuatu perkara seperti antaranya ;
1. Surat ucap tahniah
2. Surat ucap takziah
3. bertanya khabar berita
4. menceritakan empat-tempat menarik di Malaysia kepada sahabat
5. Pengalaman di tempat baru seperti di sekolah baru
6. Surat minta kebenaran ibu bapa / penjaga
7. membalas surat yang dihantar oleh orang lain
8. dan sebagainya
Tahukah kamu ?
Tarikh boleh ditulis dalam dua cara, iaitu
Cara A : 8 Februari 1998.
Cara B : 8 hb. Februari, 1998.
Mulakan menulis surat dengan bertanyakan khabar dan menceritakan keadaan kesihatan penulis.
Jika membalas surat, sebelum menanyakan sesuatu , terlebih dahulu jawab pertanyaan yang dikemukkan sebelum ini.
Gunakan panggilan mengikut usia atau pangkat seperti : nenda, ayahanda , ibunda / bonda , kakanda / kanda , adinda , anakanda , dan cucunda.
Jangan menggunakan ganti nama aku, awak, ataupun kamu.
Akhiri surat dengan salam, penghargaan, terima kasih dan keinginan untuk berutus surat lagi.
Format Surat Kiriman Tidak Rasmi
Tulis sepucuk surat kepada seorang kawan kamu untuk mengajaknya datang ke rumah kamu pada hujung bulan ini kerana buah-buahan di kebun ayah kamu sedang berbuah.
1 Nama dan alamat pengirim (kanan)
2 Tarikh (kanan)
3 Kata hadap atau pembuka kata dan kata-kata pujian
4 Kata sapaan atau panggilan hormat (rapat ke garisan tepi dan koma)
5 Perenggan pertama menyatakan tujuan surat itu ditulis
6 Perenggan ke-2 buah-buahan sedang masak
ayah memajak sebahagian sahaja keluarga serta kawan-kawan dapat merasai
7 Perenggan ke-3 boleh ajak kelurga serta kawan-kawan bersama-sama
terima kasih
8 Penutup
9 Tandatangan pengirim (kanan)
7 Perakuan diri (kanan)
Faridah Binti Osman
49, Kampung Darau,
22000 Jerteh,
Terengganu.
2 Julai 1998.
Menemui sahabatku Noorhanim yang berada di Kampung Kuala Besut, semoga berada dalam
keadaan sihat sejahtera.
Saudari,
Saya berharap saudari masih tidak melupai saya. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk
mengajak saudari datang ke rumah saya pada cuti hujung bulan nanti.
Untuk pengetahuan saudari, buah-buahan di kebun ayah saya sedang masak. Buah-buahan pada musim ini sungguh menjadi, terutama manggis. Ayah saya memajakkan sebahagian sahaja. Selebihnya ditinggalkan supaya keluarga serta sahabat handai kami sama-sama dapat merasainya.
Saya berharap Noor tidak keberatan untuk datang ke rumah saya. Kalau saudari suka , ajaklah
keluarga serta kawan-kawan saudari datang bersama-sama. Boleh mereka sama-sama merasai keenekkan buah manggis, rambutan, langsat serta durian.
Saya berharap saudari bersetuju dan memberitahu saya secepat mungkin. Saya akan menunggu
kedatangan saudari itu.
Sampai di sini sahaja yang sempat saya tuliskan. Akhir kata , sambutlah salam mesra daripada saya
untuk saudari sekeluarga. Semoga kita dapat bertemu nanti.
Sekian , terima kasih.
Yang benar,
Faridah
( FARIDAH OSMAN )
- mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format, - tolak 3 markah ) a] alamat ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
b] tarikh ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
c] kata sapaan ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
d] tajuk / perkara ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
e] tanda tangan dan nama ( salah letak / jika tiada - tolak 1 markah )
Tahukah kamu ?
Tidak menjadi kesalahan jika tidak menulis nama selepas tandatangan jika kamu telah menulis nama penuh pada alamat di atasnya. Ada pendapat mengatakan, anda dianggap ’ketinggalan zaman_ jika anda menulis nama pada alamat di atas sekali.
SURAT MINTA KEBENARAN
Karangan Jenis Ucapan
1. ucapan dibuat untuk majlis perasmian, perpisahan, meraikan seseorang, atau mengingati hari tertentu.
2. mulakan karangan ucapan dengan kata-kata alu-aluan dan mengakhirinya dengan ucapan penutup.
3. nyatakan tujuan ucapan.
4. Ucapan biasanya lebih kepada tertumpu kepada penerangan, pujian, atau penghargaan.
5. pastikan isi-isi yang hendak disampaikan itu menyakinkan dan dapat menarik perhatian para hadirin.
6. bayangkan seolah-olah kamu sedang memberi ucapan dalam satu majlis yang sebenar.
7. Kamu boleh menyelitkan pantun, ungkapan atau peribahasa untuk menyedapkan ucapan sama ada pada permulaan atau penutupnya.
8. mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah )
a] kata - kata aluan ( jika tidak ada , tolak 1 markah )
b] kata penegasan contoh Tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan sebagainya ( jika tiada tolak 1 markah )
Pengenalan : kata-kata aluan kepada hadirin
terima kasih kerana diberi peluang berucap
Perenggan ke-2 tujuan diadakan perayaan itu
jasa dan bakti guru
Perenggan ke-3 pengorbanan guru besar sekali
tanpa guru , pengajaran dan pelajaran tidak sempurna guru patut dikenang dan disanjung tinggi
Perenggan ke-4 guru membimbing dan mendidik kita
kita mesti belajar bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan harapan mereka
Penutup ucapan terima kasih kepada semua guru
ucapan selamat menyambut ’Hari Guru“
UCAPAN HARI GURU
UCAPAN TAHNIAH
Tip
Semua karangan jenis ucapan mempunyai kata aluan yang hampir sama. Lihat contoh di bawah. Cuba kamu perhatikan penggunaan huruf besar pada tempat yang tertentu. Lihat juga penggunaan kata penegasan.
Assalamualaikum
Selamat pagi dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha
Tuan Guru Besar, guru-guru khususnya guru-guru Tahun Enam dan pelajar sekalian.
Hadirin yang saya hormati sekalian.
Tujuan saya berdiri di sini adalah untuk menyampaikan satu ucapan sempena majlis perpisahan murid-murid Tahun Enam. Saya ingin mengucapakan ribuan terima kasih kerana diberi peluang berucap di majlis ini.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa tanpa kita sedari sudah enam tahun masa berlalu dan
sudah ..
Karangan Jenis Syarahan.
1. Syarahan biasanya berdasarkan satu-satu tajuk tertentu dan dipertandingkan.
2. Memberi ucapan salam dan menyebut nama-mana tetamu hadir yang dijemput khas (mengikut urutan betul berdasarkan statusnya ) . Tujukan juga salam kepada pihak-pihak lain atau orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan.
3. Bahasa yang digunakan harus mudah difahami, padat, tegas dan berkesan serta menyakinkan.
4. Kandungan syarahan adalah berasaskan kepada sesuatu tajuk tertentu yang diberi.
5. jika mengemukakan masalah, calon hendaklah menyelesaikan masalah berkenaan bukannya dijadikan persoalan.
6. kemukakan isi demi isi. Sebelum memaparkan isi , sebut ungkapan seumpama ’tuan-tuan dan puan yang saya hormati ’ tuan-tuan dan puan-puan sekalian, para hadirin yang saya muliakan...( tulis ungkapan penegasan ini dalam barisnya sendiri sebelum kita mengemukakan sesuatu isi ).
7. Syarahan mesti menarik agar pendengar tidak merasa jemu
8. kata-kata hikmat, kiasan, jenaka atau peribahasa boleh diselitkan dalam syarahan supaya lebih menarik
9. mengakhiri syarahan dengan memohon maaf / ucapan terima kasih
- mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah ) a] kata - kata aluan ( jika tidak ada , tolak 1 markah )
b] kata penegasan contoh Tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan sebagainya ( jika tiada tolak 1 markah )
Pengenalan kata-kata aluan
ucapan terima kasih
Perenggan ke-2 tajuk syarahan
Perenggan ke-3 melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum
dapat menambahkan pengalaman serta ilmu pengetahuan
Perenggan ke-4 membaca untuk mengisi masa lapang
banyak bahan bacaan aktiviti yang paling berfaedah
Penutup ucapan terima kasih
RANGKA
1.PENDAHULUAN.
-ucapan alu-aluan kepada Tuan Pengerusi Majlis,para hakim,Guru Besar ,guru-guru ,dan rakan-rakan sekalian.
2.ISI
a) banyak mendatangkan keburukan-jika terlalu boros berbelanja ,kita tidak akan mempunyai wang pada masa kita memerlukannya-makanan yang dibeli secara berlebihan akan terbuang.
b) membuang masa dengan cara tidak berfaedah adalah amalan buruk-masa itu emas-gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya.
c) membazir air dan elektrik -bil air dan elektrik meningkat -terpaksa mencatu air pada musim kemarau.
3.PENUTUP
membazir sememangnya amalan yang tidak baik -banyak mendatangkan keburukan.
KARANGAN
Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana , guru-guru dan rakan-rakan
sekalian. Tajuk syarahan saya ialah ’Menjaga Alam Sekitar“.
Hadirin hadirat sekalian,
Alam sekitar adalah suasana yang wujud di sekeliling kita. Ini termasuk bumi yang kita pijak dan
udara yang kita sedut. Semakin hari alam sekitar kita semakin tercemar.
Antara faktor-faktor pencemaran ialah pengeluaran asap-asap kotor daripada kenderaan dan kilang-
kilang, sampah sarap yang sukar dihapuskan seperti longgokkan besi buruk , sungai yang dipenuhi sampah dan bangkai binatang.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Ini jelas membuktikan bahawa hidupan kita adalah terdedah kepada bahaya pencemaran alam
sekitar. Oleh itu, kita hendaklah menjaga alam sekitar dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkannya. Sebagai pengguna, kita hendaklah sama-sama mendisiplinkan diri dan menjaga kebersihan alam sekitar.
Sebagai mengakhiri syarahan ini, saya ingin tegaskan bahawa langkah serius perlu diambil dengan segera dalam usaha menjaga alam sekitar kita. Setiap individu perlu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dalam hal ini. Alam sekitar yang bersih menjamin kesihatan kita.
Sekian, terima kasih
Karangan jenis berita
1.Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
2.Berita mesti menjawab soalan Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di Mana ? dan Bagaimana?
3.Apa ?
menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi persoalan berita memberi maklumat kepada keseluruhan berita
4.Siapa ?
nama yang terlibat perlu penjelasan lengkap jika perlu sertakan usia pelaku
5. Bila ?
menerangkan masa peristiwa itu berlaku tarikh yang tepat untuk kejadian jenayah staupun kemalangan perlu letakkan waktu“
1.Mengapa ?
sebab-sebab peristiwa berlaku jika sebab-sebab belum diketahui , nyatakan ”belum diketahui… atau ”pihak polis belum mendapat bukti…
2.Di mana ?
tempat kejadian peristiwa jika nama tempat kurang diketahui umum sebagai contoh, daerah yang terpencil, letakkan sekali nama negeri Bagaimana ?
menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangannya.
3.Mulakan penulisan dengan mencatatkan ’tempat“ (huruf besar) diikuti dengan tarikh peristiwa itu berlaku.
Contoh : JERTEH, 24 Disember -
Tulis secara ringkas tentang saripati peristiwa yang berkenaan termasuk tarikh dan masa peristiwa itu berlaku. (Sebaik-baik tulis saripati kepada peritiwa yang berkenaan dalam satu perenggan sahaja.) 4.Pastikan agar pengenalan kamu dapat menarik perhatian pembaca.
5.Gunakan bahasa yang ringkas tetapi padat.
6.Perenggan yang berikutnya ialah tentang huraian-huraian yang lebih ’panjang-lebar“.
7.Nyatakan bahagian penutup secara ringkas
Karangan Jenis Perbahasan
1. Karangan jenis ini ialah karangan yang ditulis untuk menyampaikan pendapat tentang sesuatu tajuk yang diberikan.
2. Perbahasan terbahagi kepada dua pihak yang mempunyai pendapat yang yang bertentangan iaitu :
pihak pencadang
pihak pembangkang
3. Kedua-dua pihak ini mempunyai pendapat-pendapat yang tersendiri yang hendak dihujahkan.
4. Setelah menulis pendahuluan kemukakan hujah-hujah anda
5. Pastikan kamu telah mengenalpasti terlebih dahulu hujah berkenaan yang pada mulanya dicatatkan
secara ringkas.
- mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah ) a] kata - kata aluan ( jika tidak ada , tolak 1 markah )
’Menonton televisyen lebih banyak mendatangkan kesan yang buruk“. Berikan pendapat kamu sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pernyataan ini.
Pengenalan kata-kata aluan
tajuk yang hendak dibahaskan
Perenggan ke-2 tidak bersetuju dengan tajuk
alat media massa yang terkenal menyiarkan banyak rancangan
Perenggan ke-3 rancangan berita dan peristiwa dunia banyak berfaedah
dapat mengetahui perkembangan dunia
Perenggan ke-4 banyak rancangan lain dapat menambahkan ilmu pengetahuan
mengetahui sesuatu perkara dengan lebih terperinci
Penutup tegaskan pendapat anda tentang tajuk perbahasan
ucapan terima kasih
Karangan Jenis Peribahasa
1. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa , perumpamaan , pepatah , dan bidalan.
2. Sebelum menulis karangan jenis ini, anda perlu memahami maksud peribahasa itu sejelas-jelasnya.
3. Kalau karangan ini ditulis dalam bentuk cerita, cerita itu hendaklah mempunyai pertalian dengan peribahasa itu. Sebaik-baiknya, cerita mengandungi nilai-nilai murni.
4. Kalau karangan ini ditulis dalam bentuk penerangan , maksud peribahasa itu perlu dihuraikan terlebih
dahulu. Kemudian jelaskan fungsi dan kepentingannya di dalam masyarakat.
Pengenalan maksud peribahasa
Perenggan ke-2 sesetengan orang tidak sabar dalam sbarang pekerjaan
Perenggan ke-3 contoh seorang pemandu kenderaan
pandu laju kerana mahu cepat sampai ke destinasinya
Perenggan ke-4 berlaku perkara yang tidak diingini
menyesal
Penutup peribahasa ini merupakan contoh yang baik dalam kehidupan seharian
sentiasa selamat kalau mengamalkan peribahasa ini
Menonton Televisyen lebih banyak mendatangkan kesan yang buruk
PANDUAN MENCARI ISI PENTING BERDASARKAN SOALAN.
ARAHAN : Isi-isi yang diberi adalah sebagai panduan pada kamu sahaja. Kamu boleh menambah mana-mana isi yang kurang. Adalah lebih baik kamu mendapatkan isi yang kamu cari sendiri. Bandingkan isi yang diberi. Ini penting kerana ia boleh menguatkan daya ingatan kamu semasa peperiksaan sebenar.
YANG BENAR
AWANG ZAINALABIDIN BIN USOP
GURU BAHASA MELAYU 4K
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Suami perlu amalkan untuk Bahagia
Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan d t S p 5 o n s g h o r e d s · 30 tips untuk keluarga bahagia till jannah (for men only): 1. Kalau ister...
-
Ayat aktif transitif 1) Selain mengutamakan subjek asal sebagai judul, ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tran...
-
Perbualan tentang kepentingan menjaga kebersihan di dapur rumah. Dalilah : Ibu, saya sudah menyiapkan semua kerja sekolah yang telah diber...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan