Selasa, 24 Jun 2008

BAHASA MALAYSIA MENCARI ARAH

MEMPERKASAKAN BAHASA INGGERIS BAHASA DUNIA; KEMANA RELATIFNYA IDEOLOGI BAHASA MELAYU YANG STANDARD?

“SEJARAH Perkembangan Bahasa Melayu”, merupakan salah satu daripada kertas pilihan dalam peperiksaan universiti di London. Sehingga sekarang, sudah 20 tahun mata pelajaran ini diajarkan di universiti di London. (Russell Jones. Sejarah Bahasa Melayu).

Petikan kata-kata daripada Russel Jones di atas seperti ujuran supaya penggunaan bahasa Melayu tidak sewewangnya dipinggirkan begitu sahaja seperti yang diwarwarkan. Dan penafian beliau dalam sejarah bahasa Melayunya memberi sedikit tekanan untuk mengangkat martabat penggunaan bahasa Melayu menjadi salah satu antara bahasa dunia? Seperti yang telah diwarwarkan pelbagai pihak dan para akademia bahasa yang tidak mahu bahasa Melayu terus dinafikan akan kewibawaannya, sebagai salah satu bahasa dunia dengan ideologi bangsa.

Apakah standard bahasa Melayu dinafikan hak penguasaannya kerana ia dianggap bahasa yang tidak perlu diberi perhatian? Memang mengelirukan. Retorika yang selalu diwarwarkan, tetapi masih jumud dalam penerimaan yang dianggap standard? Malah untuk mencari sinigfikan dalam perkara itu telah memberi kita penjelasan yang amat jarang sesiapa sahaja penuturnya mengakui akan kebenaran. Jumudan penutur bahasa Melayu dikuasai bahasa Inggeris? Di mana silapnya kita sebagai penutur yang mencintai bahasa ibunda kita. Dan slogan Cintailah Bahasa Kita begitu lama dipinggirkan penggunaannya dengan pelbagai alasan yang amat wajar sekali. Bila bahasa Melayu tidak mampu bersaing dengan bahasa Inggeris yang begitu gah dan lama bertapak di dunia?

Malah isu betapa pentingnya penutur bahasa Inggeris di kalangan warga Malaysia sebagai bahasa penting dunia pula menjadi tajuk perbincangan para akademia dengan pelbagai tanggapan yang masing-masingnya mempertahankan hak kewajaran serta ketidakwajarannya. Optimisme itu terus menciptakan bobrok positif dan negatif minda dalam pemikiran masing-masing. Tiada jalan mudah untuk menyelesaikan isu berkenaan? Dan tiada jalan penyelesaian dapat dilaksanakan kerana ideologi para akademia dibubui rasa keraguan, antara hendak mengiyakan atau menafikannya. Paradoks itu terus menguasai acuan bijaksana berfikir sesiapa sahaja.

Retorika yang pandir itulah yang telah memberi kita definisi yang terpinggir. Dalam erti kata lain, keterpinggiran yang tidak pernah dihiraukan oleh sesiapa hatta penutur bahasa tersebut? Kenapa? Kajian para akademia mencatatkan beberapa faktor penutur bahasa Melayu sebelum ini seperti melukut di tepi gantang. Terlalu mengharapkan apa sahaja keajaiban berlaku. Kita ambil contoh yang paling ketara, bila seseorang yang penuturnya berbahasa ibundanya, bahasa Melayu. Bila mana dia pergi keluar negara untuk menyiapkan ijazah kedoktorannya dalam bidang pengajian bahasa sebagai contohnya. Akan tetapi penutur asal bahasa ibunda tersebut mula berasa malu dan terhina (?) dengan keperkasaan bahasa yang sinonim daripada bahasa Inggeris yang tidak pernah dipertikaikan akan penggunaan oleh sesiapa sahaja hatta di seluruh dunia. Kecuali jika mereka pergi ke Indonesia yang begitu utuh dan setianya tentang penggunaan bahasa ibunda mereka.

Dan tidak hairanlah pengkaji-pengkaji bahasa Inggeris bila menuturkan bahasa Indonesia seperti kita mendengar warga Indonesia sendiri menuturkannya. Di manakah relatifnya penguasaan bahasa ibunda di Malaysia? Kemanakah kemampuan kita sebagai penutur bahasa ibunda yang telah dipenuhi retorika standardismenya? Adakah ideologi kita perihal bahasa Melayu tidak semerdeka bahasa Indonesia?

Keraguan itu terus membuat sesiapa sahaja yang berasa terpanggil untuk memberi pandangan baik yang positif dan negatif. Kepelbagaiannya, seperti tiada jalan penamat jika kejujuran penutur sendiri masih mempertikaikannya. Malah pemakaian bahasa Inggeris sebagai bahasa penting dunia memang diakui akan kestandardismenya? Akan tetapi dalam konteks tersebut, apakah retorikanya negara-negara maju seperti Jerman, Perancis, Rusia dan Jepun yang masih mengangkat bahasa ibunda mereka sebagai bahasa perantaraan. Pergilah ke negara mereka dan kita terpaksa membeli kamus bahasa ibunda mereka jika mahu keselesaan untuk berintraksi di negara mereka. Dalam konteks tersebut kemanakah perginya prejudis individu dalam menanggani perkara ini?

Menurut Asmah Haji Omar;

Jika dikaji bahasa-bahasa di dunia ini dapatlah dikatakan bahawa semua bahasa yang sudah mencapai taraf bahasa ilmu di dunia bermula dari bahasa tabii yang am. Bahasa-bahasa tersebut, misalnya bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan sebagainya, mencapai taraf sebagai bahasa ilmu dengan timbulnya keperluan untuk menyampaikan ilmu kepada ahli-ahli masyarakat yang menuturkan bahasa berkenaan. Bahasa-bahasa ini semuanya mempunyai sistem yang terbuka, yakni bersedia menerima pembaharuan, baik yang timbul dari bahasa itu sendiri mahupun yang datang dari luar. (Kajian Dan Perkembangan bahasa Melayu).
Memang harafiahnya, Malaysia bangga dengan kemampuan penutur warganya dalam bahasa Inggeris yang standard. Malah tidak diragukan lagi kerana apa sahaja yang menggunakan bahasa Inggeris mendapat perhatian yang serius. Malah warga Malaysia seperti begitu fasih dan meletakkan standard bahasa tersebut begitu gah. Akan tetapi dalam retorika tersebut, apakah wajar kita sebagai penutur bahasa ibunda itu sendiri mengagungkan bahasa tersebut jika prejudis diri masih merah lagi dengan apa yang berlaku sebelum ini? Tepuk dada tanyalah minda. Segalanya berada di dalam pemikiran kita. Segalanya yang memberi jawaban yang jelas dan tuntas. Lalu kemanakah realitinya ideologi bahasa Melayu itu sendiri kepada kita?

Menurut Raja Mukhtaruddin Bin Raja Mohd. Dain;

Proses penstandardan bahasa Melayu ini telah berlaku semenjak zaman dahulu lagi, tetapi seperti juga bahasa lain, proses itu menjadi hebat hanya pada ketika ia bertembung dengan bahasa asing. Seperti yang telah dihuraikan, bahasa Melayu telah bertembung dengan bahasa Sanskerta dan bahasa Arab. Pertembungannya dengan bahasa Arab telah meninggalkan pengaruh yang mendalam daripada segala segi perkembangan sebagai bahasa. (Penstandardan Bahasa Melayu).

Memang sesuatu yang mendangkalkan jika peranan bahasa Melayu itu sendiri tidak dapat bertahan dengan ideologi bahasa itu sendiri sebagai subjek yang penting dalam pertuturan. Malah apa sahaja yang menyatakan kepentingan bahasa Inggeris juga tidak boleh diabaikan kerana peranan bahasa tersebut dalam definisi kepentingan dalam persada arus global masa kini menampak impak yang jelas dan tuntas akan keberkesanan. Dari itu sesiapa sahaja yang mengatakan, peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting dunia menjadikan perumpamaan yang jelas seperti duri dalam daging yang akan membengkak dan bernanah. Pun begitu peranan sebenar bahasa Melayu seharusnya selaras dengan apa sahaja ideologi bahasa itu sendiri untuk seimbang dalam peradaban pertuturan.

Namun apa yang dikatakan Media Sandra Kasih. Bahasa Melayu Hari ini. Dewan Bahasa Januari 2005 menyebut;
Apabila memperhatikan kesederhanaan bahasa Melayu, dapat diagak bahawa potensi bahasa Melayu itu berkembang dan menjadi bahasa utama dunia sebenarnya tinggal selangkah lagi. Namun demikian, agaknya jalan yang ditempuh masih berliku lagi.

Dan disarankan juga Awang Sariyan dalam Perjuangan Bahasa Kebangsaan Di Peringkat Antarabangsa. Dewan Bahasa Januari 2005 menyebut;

Walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa yang dominan dalam konteks globalisasi, penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan dan dilestarikan di peringkat negara, demi mengekalkan identiti dan budaya negara berkenaan.

Mariam Atan. Daripada Bahasa Kampung kepada Bahasa Bandar. Dewan Bahasa Januari 2005 begitu jelas memberitahu;

Sejak abad ke-12, bahasa itu menjadi lingua franca perdagangan dan sosial di rantau ini. Sewaktu kedatangan Islam ke Nusantara, bahasa Melayu mencapat tempat paling istimewa, iaitu sebagai bahasa ilmu yang membicarakan persoalan agama. Sistem tulisan Jawi yang diperkenalkan oleh pedagang dan pemgembangan agama Islam kepada masyarakat Melayu pula menyumbangkan kepada perkembangan ilmu pengetahuan di alam Melayu.

Memang kita harus akur betapa pentingnya peranan bahasa Inggeris yang telah dinobatkan sebagai bahasa dunia. Akan tetapi kita tidak seharusnya membiarkan bahasa Melayu dipinggirkan dalam penguasaannya, kerana peranan bahasa Melayu juga mampu menguasai bahasa dunia jika kita sama-sama mendaulatkannya tanpa prejudis diri. Penafian bahasa Melayu seimbang penguasaannya yang dituturkan atau ditulis tidak boleh dianggap melukut lagi, kerana peranan bahasa Melayu ada kemampuannya sendiri untuk gah dalam apa sahaja, baik dari segi pertuturan atau dalam bentuk penulisan, hanya selaraskan dengan pencaturan yang bijaksana seperti penguasaan bahasa Inggeris.

Jalan terbaik warga Malaysia harus memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan dasar kerajaan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan yang mengintegrasikan ras, bangsa dan agama. Bahasa Melayu harus berdiri gah di samping bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Malaysia. Standard bahasa Melayu di Malaysia seharusnya selaras dengan akta undang-undang bahasa itu sendiri untuk berdiri gah dan menjadi mercu tanda bahasa ibunda, bukan terus bermegah dengan bahasa asing di mana peranan kemerdekaan kita masih mengekori apa sahaja kemajuan serta pemikiran bangsa lain. Malaysia seharusnya ada acuan sendiri untuk halatuju kestandardan bahasa Melayu. Akan tetapi tetap menghormati bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk mengimbangi kehendak potensi kemajuan dan teknologi masa kini.

Rujukan;

1. Pembinaan Bahasa Melayu. Raja Mukhtaruddin Bin Raja Mohd. Dain. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur. Cetakan Pertama 1982.

2. Kajian Dan Perkembangan Bahasa Melayu. Dato’ Hajah Asmah Haji Omar (1940). Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur Cetakan Pertama 1992.

3. Pensejarahan Bahasa Melayu Beberapa Pandangan Awal. Penyelenggara; Zaiton Ab. Rahman. Zaini Mohammed Zain. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 1990.

4. Dewan Bahasa Januari 2005.



Posted by dahirisaini at 12:17 PM

Tiada ulasan:

Suami perlu amalkan untuk Bahagia

  Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan d t S p 5 o n s g h o r e d s    ·  30 tips untuk keluarga bahagia till jannah (for men only): 1. Kalau ister...