Rabu, 23 April 2008

Cara Menjadi Pemimpin Keluarga yang Terbaik

Para isteri pun boleh baca



· Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.



· Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.



· Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.



· Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.



· Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?



· Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.



· Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.



· Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.



· Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.



· Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.



· Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.



· Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.



· Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil?



· Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.



· Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.



· Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.



· Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.



· Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.



· Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?



· Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.



· Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumahtangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.



· Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.



· Gunakan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.



· Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.



· Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.



· Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.



· Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.



· Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.



· Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.



· Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.



· Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad s.a.w. amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.



· Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.



· Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar, memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.



· Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?



· Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan untuk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.



· Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.



· Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.



· Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.



· Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.



· Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.



· Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.



· Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.



· Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.



· Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.



· Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.



· Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.



· Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.



· Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.



· Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.



· Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok, bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.



Petikan dari emel

Tags: i-info, marriage
Prev: i-Beauty - Wedding Tips & Home Remedies
Next: i-Info - Penawar Kepenatan

Selasa, 22 April 2008

SUATU PENYESALAN

MATI PUCUK LELAKI MENDERITA DALAM DIAM
PADA 1994, kajian ke atas lelaki berumur di Massachusetts mendapati bahawa lebih setengah bilangan lelaki berusia antara 40 hingga 70 tahun menghadapi masalah untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan. Ia juga berlaku di kalangan pemuda berusia 20-an dan 30-an. Manakala, penyelidikan pasaran menunjukkan bahawa usia purata penghidap penyakit lemah tenaga batin atau erectile dysfunction di benua Asia lebih muda dengan penghidap di negara China bermula ketika berusia 42 tahun. Jepun dan Malaysia, 44 tahun. Secara rambang, kira-kira 100 juta lelaki di seluruh dunia dianggarkan menghadapi masalah lemah tenaga batin. Malah hampir sejuta lelaki di Malaysia akan menghadapi masalah tersebut.
Lemah tenaga batin dikaitkan sebagai ketidakupayaan yang berterusan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang secukupnya bagi menghasilkan satu aktiviti seks yang memuaskan. Ia merupakan satu masalah yang meluas namun jarang diperkatakan di kalangan lelaki terutamanya di dalam masyarakat Asia.
Bagi masyarakat Asia, adalah sesuatu yang amat mengaibkan untuk memperkatakan tentang penyakit ini secara terbuka. Banyak beranggapan 'kejantanan' lelaki terletak pada kehebatan mereka di ranjang. Justeru kerana tidak mahu diperolok-olokkan kawan-kawan, maka penghidap lemah tenaga batin lebih rela menderita dalam diam. Lebih memburukkan keadaan andai mereka juga keberatan untuk membincangkan isu ini dengan pasangan atau mendapatkan nasihat doktor.
"Lelaki yang mempunyai masalah lemah tenaga batin perlu mengambil langkah permulaan untuk mengetahui bahawa mereka tidak perlu menderita dalam diam. Walaupun, ia merupakan penyakit serius tetapi boleh diubati. Lebih baik menemui pakar urologi atau sakit tuan jika terdapat tanda awal masalah tersebut agar dapat dirawat segera," kata Pendaftar Perbidanan Pusat Rawatan Islam, Dr Mohd Daud Yahya.
Kebanyakan orang merujuk penyakit ini sebagai mati pucuk mungkin disebabkan anggapan negatif yang tertanam di benak mereka sejak sekian lama. Justeru kebanyakan lelaki mengelakkan diri daripada mendapatkan bantuan doktor. Sesetengahnya pula bimbang bahawa ujian yang dijalankan untuk mendiagnosa masalah lemah tenaga batin akan menyebabkan ketidakselesaan. Tambahan pula lelaki tidak tahu apa yang boleh diharapkan jika mereka mendapatkan rawatan dan akibatnya menimbulkan kekecewaan.
"Sebahagian besar pesakit di Asia, merangkumi 47peratus cuba mendapatkan rawatan sendiri melalui perubatan tradisional seperti berurut, minum air tongkat Ali, memakan ikan linang, serbuk badak sumbu dan ubat-ubat tradisional lain. Cara-cara tradisional boleh juga membantu tetapi fungsinya tidak sama. Urutan boleh membantu daya keteganan apabila bekalan darah dapat mengalir ke buah zakar tetapi urutan tidak meningkatkan libido (ghairah seks). Sebaliknya, amalan memakan ubat-ubat tradisional boleh meningkatkan libido tetapi bukan untuk ketegangan.
Untuk mendapatkan kepuasan seks, libido dan ketegangan perlu jalan seiring. Dianggarkan 3 8 peratus pesakit menunggu sehingga lebih enam bulan sebelum meminta bantuan doktor sementara dua pertiga lagi menunggu sehingga 12 bulan, ielas Dr Daud.
Mengapa mati pucuk berlaku?
Masalah lemah tenaga batin biasanya berlaku akibat gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar. Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol dalam darah yang luar biasa tingginya. Diabetes (kencing manis) merupakan satu-satunya masalah utama yang boleh dikaitkan dengan lemah tenaga batin. Ia boleh menimbulkan kesukaran seksual lelaki pada sebarang usia melalui gangguan sistem perjalanan darah dan saraf yang terlibat untuk merangsang ketegangan. Kesannya, kira-kira setengah daripada penghidap diabetes lelaki akan menghidapi masalah lemah tenaga batin.
"Selain berpunca daripada keadaan fizikal, keadaan psikologi juga boleh menyebabkan masalah ini. Ketegangan perasaan, bebanan kerja, keletihan, perkahwinan yang tidak harmoni juga boleh menyebabkan lelaki menghadapi masalah ketidakupayaan. Sebenarnya, masalah ini adalah masalah perubatan yang biasa dan lelaki tidak pernah keseorangan menghadapinya. Cuma, tanpa rawatan segera, ia boleh menyebabkan banyak masalah emosi yang seterusnya menjejaskan imej diri, hilang keyakinan, ketegangan fikiran dan masalah perhubungan suami isteri.
"Masalah kesihatan lain yang boleh menyebabkan lemah tenaga batin ialah gangguan neurologi seperti sclerosis berbilang, penyakit alzemir (angin ahmar) dan trauma akibat kecederaan pelvik atau tulang belakang. Pembedahan khususnya penyakit prostat dan terafi radiasi juga boleh menjejaskan fungsi tenaga batin sama seperti sesetengah ubat yang dipriskripsi untuk merawat penyakit seperti tekanan darah tinggi, ketegangan perasaan, penyakit jantung, ulser gastrik dan barah," katanya.
Ini dikuatkan lagi dengan pendapat Pakar Urologi merangkap Presiden Persatuan Penyelidikan Lemah Tenaga Batin bagi Asia Pasifik (APSIR), Dr Tan Hui Meng, yang mengatakan bahawa sebelum ini masalah lemah tenaga batin dianggap berlaku akibat masalah psikologi. Kini, para penyelidik mendapati empat daripada lima lelaki yang menderitai masalah tersebut mempunyai masalah yang berpunca daripada keadaan fizikal. Penyebab utama lemah tenaga batin biasanya berkaitan dengan diabetes, penyakit jantung dan masalah hati.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Pfizer berkaitan rawatan lemah tenaga batin di Asia, 25 peratus pesakit lemah tenaga batin juga menghidapi tekanan darah berlebihan (hypertension), 15 peratus menghidap prostatik hyperlasia ringan, 13 peratus menghidap diabetes jenis 11, sembilan peratus menghidap penyakit vaskular, sembilan peratus menghidap diabetes jenis 1, sembilan peratus menghidap keadaan psikitrik, tujuh peratus menghidap trauma pelvik dan dua peratus mengalami kecederaan tulang belakang.
"Kurangnya komunikasi antara pasangan dan pakar penjagaan kesihatan lambat laun boleh membawa kesan negatif. Masalah lemah tenaga batin boleh menjejaskan perhubungan suami isteri. lika isteri mengetahui bahawa suaminya menghadapi penyakit tersebut, dia boleh-membantu dengan menggalakkan suaminya membicarakan perkara tersebut secara terbuka. Ketika inilah peranan pasangan penting dalam membantu merawat masalah lemah tenaga batin," tegas beliau sambil menekankan pengorbanan dan pemahaman isteri amat dituntut demi kesejahteraan rumah tangga.
Sambung Dr Daud, faktor gaya hidup juga penting. Merokok misalnya boleh menyempitkan aliran darah ke zakar dan memburukkan keadaan vaskular seperti tekanan darah tinggi. Meminum minuman beralkohol secara berlebihan serta penyalahgunaan dadah boleh memburukkan lagi masalah tersebut.
Rawatan
Amalan perubatan asas termasuk sejarah perubatan dan seksual, pemeriksaan fizikal yang ringkas dan mengukur tekanan darah adalah perkara biasa yang perlu dilakukan oleh doktor ke atas pesakit lemah tenaga batin. Inventori kesihatan seksual untuk lelaki merupakan satu kaji selidik lima soalan diagnostik mudah yang baru bagi memastikan wujud komunikasi di antara profesional perubatan dengan pesakit bagi membantu memastikan diagnosa yang tepat. Ujian makmal yang menilai darah dan air kencing membantu mengenal pasti sebarang penyebab dari segi perubatan yang memerlukan rawatan.
"Terdapat beberapa pilihan yang kini tersedia untuk merawat masalah lemah tenaga batin. Ini termasuk alat mekanikal (contohnya pam vakum dan protesis zakar yang ditanam), pembedahan untuk membetulkan masalah pengalitan, suntikan yang boleh dilakukan sendiri atas nasihat pakar dan pengubatan biasa. lika didapati penyebab fizikal bukan punca lemah tenaga batin, kaunseling dan psikoterapi boleh membantu meredakan masalah. Biasanya, bagi lelaki yang mengalaminya akibat fizikal dan psikologi, gabungan kaunseling dan rawatan lain diperlukan.
"Satu lagi cara rawatan terbaru yang sedang hangat diperkatakan ialah pil Viagra. Cuma, Kementerian Kesihatan masih belum meluluskannya. Saya tidak fikir ia akan diluluskan dalam jangka waktu yang singkat walaupun kelihatannya kaum lelaki terdesak mencarinya. Lapan belas bulan adalah jangka masa kajian ke atas produk. Kelulusan mungkin mengambil lebih daripada dua tahun. Barangkali lima tahun. Berita ini tentulah tidak menggembirakan bagi lelaki yang sudah bertabun-tahun mengalami masalah lemah tenaga batin. Mungkin ada yang pergi sendiri ke Amerika semata-mata mahu membeli Viagra kerana ia mudah didapati di farmasi-farmasi di sana.
"Biasalah, benda baru selalunya mendapat sambutan hebat. Tetapi awas, Viagra bukan untuk sembarangan orang. Ia tidak digalakkan untuk orang muda sebaliknya untuk mereka yang berusia 40 tabun ke atas. Pengambilannya pula mestilah melalui pemeriksaan dan nasihat doktor kerana kesan-kesan sampingan seperti buta warna, tekanan darah rendah, sakit kepala, ketidakselesaan, bintik-bintik merah di badan dan sebagainya boleh memberikan kondisi yang buruk. Lebih bahaya jika penghidapnya pula menghidapi penyakit-penyakit lain khususnya sakit jantung yang memang kita tahu pesakit lemah tenaga batin memang mempunyai penyakit lain," tegasnya bersungguh-sungguh.
"Kalaupun ia diluluskan nanti, kementerian harus lebih tegas dan berhati-hati. Pada pandangan peribadi saya, Viagra tidak sesuai dijual secara terbuka seperti di pasar raya atau di farmasi. Lagipun, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengeluarnya, Pfizer New York, Viagra bertujuan untuk menegangkan buah zakar bukannya meningkatkan libido. Saya khuatir, mereka vang tidak mengalami masalah ketegangan buah zakar tidak faham tentang fungsi viagra dan cuba-cuba mengambilnya untuk tujuan lain seperti untuk memanjangkan daya seks sedangkan kesannya lebih bahaya. Ia hanya boleh dimakan sekali sehari. Lebih-lebih lagi orang muda yang selalunya suka mencuba benda-benda yang baru," katanya lagi.
Tambahnya, Viagra bukanlah menandakan satu kejayaan besar dalam dunia perubatan. Ia cuma salah satu antara penemuan-penemuan baru dalam memberikan alternatif lain kepada penghidap lemah tenaga batin. Tambahan pula Viagra tidak memulihkan terus pesakit daripada masalah lemah tenaga batin. Fungsinya hanya untuk menegangkan buah zakar sewaktu hendak melakukan hubungan seksual dan perlu dimakan sejam sebelum itu. Itupun tidak semua lelaki menerima kesan yang sama. Malah, jangka lama ketegangan juga tidak dijamin. lika ada ubat yang boleh berfungsi serentak iaitu menegangkan buah zakar sekali gus merangsangkan keghairahan seks barulah ia boleh dianggap kejayaan dalam bidang rawatan lemah tenaga batin Ini kerana rawatan-rawatan yang ada sekarang termasuklah Viagra hanya mempunyai satu fungsi sahaja. Justeru nasihat beliau agar lelaki tidak begitu ghairah menerima kehadiran viagra.
WANITA, OGOS 1998, M/S 129-131

MAKAN UNTUK HIDUP OR HIDUP UNTUK MAKAN

Jauhi Makanan Segera
Makanan segera memang wajar digelar makanan remeh. Memandangkan hakikat inilah syarikat-syarikat makanan membelanjakan berjuta-juta ringgit ke atas iklan, penajaan dan promosi untuk meyakinkan orang ramai perkara sebaiknya. Tempat-tempat perniagaan (restoran) mereka didakwa menjadi tempat hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga, mengikut aliran semasa dan kita diberitahu makanan itu selamat dimakan dan berkhasiat.
Kami tidak mengatakan semua makanan segera adalah makanan remeh. Ia sememangnya makanan tetapi mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap dimakan, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan anda sekeluarga kepada pelbagai penyakit - mula-mula kerosakan gigi, sembelit, tubuh menggeleber, kegemukan... diikuti oleh tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:
Burger daging (1/2 paun) boleh mengandungi 2 oz lemak tulen. Ia membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.
Ayam goreng: Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperolehi dari lemak). Banyak garam. Ia membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.
Kentang goreng: Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.
Milk Shake: 5 oz susu di dalam 10 oz shake, bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemulsi. Ia juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium, dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.
Cola: Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula). Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanan: kosong.
Secara keseluruhan, kita dapat lihat terdapat sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa vitamin yang baik. Namun kebanyakan bahan itu tinggi kandungan kalorinya, direndam dalam lemak dan dipenuhi gula dan garam. Ia kekurangan serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian perlu. Apa yang kurang ialah keseimbangannya.
Satu sajian makanan segera membekalkan anda separuh kalori dan dua pertiga lemak serta protein yang anda perlukan sepanjang hari. Tetapi jika anda mengambil sajian makanan ini sebagai makanan ringan, di antara sajian tetap anda, anda akan mendapat lebih banyak kalori, protein, lemak daripada yang diperlukan tubuh. Anda akan kekurangan sesetengah zat makanan perlu yang membentuk diet lengkap dan seimbang.
Lemak
Sebiji burger boleh mengandungi sebanyak 35% (atau mungkin lebih) lemak. Kentang goreng dikatakan lebih baik (dari segi khasiat) daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu, yang menggalakkan penyakit jantung. Lebih buruk, ia biasanya disediakan separa masak di dalam lemak dan kemudian dimasak sekali lagi sebelum dihidangkan. Jumlah berganda di dalam satu hidangan ini boleh mengandungi di antara 11 dan 16 g lemak.
Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemulsi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain.
Jangan menyangka ayam dan ikan kurang lemak. Ia juga digoreng dengan menggunakan banyak minyak di mana kebanyakkannya sama buruknya.
Jadual 1. Lemak di dalam makanan segera
Makanan
Jumlah lemak ( )
Bahagian kalori daripada lemak (%)
Big Mac McDonald's
54 g (27 g)
59
Aiskrim vanilla Baskin Robbins
100g (12 g)
52
Burger King Whopper
36 g ( 12 g)
52
Ayam goreng Kentucky (4 ketul)
45 g ( 12 g)
58
Burger McDonald's bersama keju
25 g ( 12 g)
46
Fillet-o-fish McDonald's
26 g ( 7 g)
56
Sumber : Tim Lobstein (dari Suruhanjaya Makanan London), Fast Food Facts, Camden Press Ltd., London, 1988.

Kandungan daging
Anda mungkin menyangka sebiji burger hanyalah daging cincang. Namun definisi daging bagi industri makanan segera tidak sama dengan apa yang anda sangkakan. Tanpa mengambil kira bahagian lemak, daging itu tidak semestinya daging semata-mata. "Daging tanpa lemak" boleh (secara haram) termasuk tulang, kulit, rawan dan urat, lidah, usus dan organ-organ lain serta ekor yang dikisar. Ia juga boleh termasuk daging yang diperolehi dengan menggunakan mesin: diperbuat daripada sisa-sisa yang dipotong dan lemak yang dikikis daripada haiwan sembelihan oleh mesin. Bahan-bahan ini kemudiannya dikisar dan diadun menjadi adunan cair dengan menggunakan pengemulsi dan pemekat.
Sebiji burger boleh mengandungi daripada 50% hingga serendah 25% "daging tanpa lemak" sedemikian. Burger lain dicampurkan lemak dan ramuan-ramuan bukan daging seperti biskut garing (rusk) dan tepung kacang soya serta serbuk bawang. Campuran itu disebatikan dengan pengemulsi/pemekat (seperti selulos atau palpa kapas, rumput laut atau gam pokok), menjadikannya kelihatan menarik dan lazat dengan pewarna tiruan seperti Tartrazine, gula, perisa kimia, MSG dan garam.
Pada 1989, CAP menguji 9 contoh burger beku dari pasar raya dan mendapati sejumlah besar lemak dicampurkan. Jumlah ini dalam lingkungan 11- 24% (iaitu 9 hingga 18 g lemak tepu tulen di dalam sebiji burger sederhana saiznya kira-kira 75 g), berbanding dengan protein yang terdiri daripada 12 - 18%. Yang lain merupakan isi bukan daging, biasanya roti yang sudah berkulat.
Garam
Secara purata seseorang itu memerlukan tidak lebih daripada 5 g atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji Big Mac boleh mengandungi 2 hingga 3 g garam, sementara tiga ketul ayam goreng Kentucky boleh mengandungi 3 hingga 4 kg.
Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Malah bahan makanan yang tidak manis mengandungi gula kerana banyak pengeluar menggunakan gula untuk menyedapkannya.
Bahan makanan
Jumalh gula (%)
Bil. sudu teh
Pai epal digoreng dengan banyak minyak
15
3
Milk shake (kecil)
8 - 12
3
Cola
11
14
Daging dalam ban bijan
6
3
Pizza keju dan tomato
3
2
Sumber : Fast Food Facts, Camden Press Ltd., London, 1988.

Serat
Serat terkandung di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit, atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. Ia juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses, ia hampir tidak mengandungi serta diet. Tidak terdapat di dalam burger, ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad seperti makanan seimbang kepada pelanggan.
Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan milkshake, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun dalam sehari, anda perlu mengunyah empat burger seberat suku paun tiap satu untuk mendapatkan cukup zat besi, 15 paket kentang goreng untuk mendapatkan cukup vitamin C dan menyedut 10 shake bagi mendapatkan kalsium secukupnya.
*******************
Kesimpulannya, untuk mendapatkan zat secukupnya daripada makanan segera, anda mungkin menjadi terlalu gemuk hingga sukar duduk di atas kerusi plastik restoran McDonald's!

Makanan berbahaya : panduan CAP mengenai bahaya tersembunyi dalam makanan - Pulau Pinang : Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 1999. Ms 242 - 247

APA DAH JADI

WANITA, KEHAMILAN DAN HIV/AIDS
Maklumat untuk wanita yang ingin hidup sihat dan bahagia
Sebagaimana yang anda mungkin tealh ketahui AIDS berpunca dari serangan virus yang dipanggil HIV atau Human Immunodeficiency Virus. HIV menyerang sistem daya tahan badan seseorang sehingga ia menjadi lemah dan punah lantas ia tidak berupaya melawan serangan penyakit, sekalipun penyakit-penyakit yang biasanya ringan dan boleh disembuhkan. Seseorang yang telah disahkan dijangkiti HIV dipanggil sebagai positif-HIV. Ini tidak semestinya bermakna orang itu menghidap AIDS.
AIDS pula adalah nama yang diberi kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang positif-HIV, akibat sistem daya tahan yang telah lemah. Penyakit-penyakit yang paling biasa adalah radang paru-paru, batuk kering, beberapa jenis barah, jangkitan kulat dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap. Jangkitan-jangkitan oportunistik ini (yang mengambil kesempatan tehadap sistem daya tahan badan yang telah lemah) mungkin menyerang beberapa tahun selepas seseorang itu dijangkiti HIV.
Sebagai seorang wanita yang inginkan kehidupan yang sihat dan bahagia, anda perlu tahu bahawa HIV merebak melalui tiga cara iaitu:
Melalui perhubungan seks tanpa kondom dengan orang yang telah dijangkiti HIV, di mana berlaku pemindahan cecair badab seperti air mani, air mazi, bendalir faraj atau darah (termasuk darah haid) dari tubuh orang yang telah dijangkiti HIV itu ke tubuh orang yang lain.
Melalui darah yang telah dicemari dengan HIV, umpamanya melalui jarum suntikan yang tidak disteril, pemindahan darah dan organ-organ badan.
Melalui ibu yang telah dijangkiti HIV kepada anaknya semasa kehamilan, kelahiran atau memberi susu badan.
Pada keseluruhannya, kira-kira 30% daripada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita-wanita positif-HIV dilaporkan dijangkiti HIV melalui ibu mereka. Risiko ini boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat anti-HIV seperti AZT.
Gadis remaja amat terdedah kepada jangkitan HIV. Status sosial yang rendah menyebabkan mereka mudah tewas kepada punca jangkitan.
Ketahuilah status kesihatan anda sendiri di samping mengetahui kegiatan seksual pasangan anda.
Buatlah keputusan yang bijak dalam memilih pasangan. Pastikan jawapan kepada soalan-soalan ini:
Adakah dia bebas dari jangkitan HIV dan penyakit kelamin?
Adakah dia seorang yang setia, atau adakah dia mempunyai pasangan lain?
Adakah dia seorang pengguna dadah atau bekas pengguna dadah?
Apakah latar belakang aktiviti seksualnya sebelum ini?
Dalam pada itu jangan lupa tanyakan juga pada diri anda sendiri :
Adakah anda bebas dari jangkitan HIV, hepatitis atau penyakit-penyakit merbahaya yang lain?
Adakah anda yakin status kesihatan anda?
Adakah anda seorang penguna dadah atau bekas pengguna dadah?
Mungkinkah anda perlu menjalani sebarang ujian darah?
Anda berhak dan bertanggungjawab meminta pasangan anda menggunakan kondom bila mengadakan hubungan seks.
Satu daripada faktor mengapa kebanyakan wanita enggan mencadangkan seks yang selamat adalah kerana mereka berpendapat nikmat seks pasangan mereka adalah lebih penting daripada keselamatan mereka sendiri. Sikap sebegini merugikan wanita sendiri.
Ingatlah bahawa anda mempergadaikan nyawa sekiranya anda mengadakan seks yang tidak selamat. Mencadangkan atau meminta seks yang selamat tidak bermakna anda meragui kesetiaan atau kegiatan pasangan anda. Seks yang selamat bertujuan memberi perlindungan kepada kedua-dua belah pihak. Menggunakan kondom adalah langkah pencegahan yang dapat melindungi kesihatan anda berdua.
Seorang wanita menghadapi kemungkinan dijangkiti HIV tiga hingga lapan kali lebih tinggi daripada lelaki bial melakukan seks faraj tanpa kondom.
Kalau dia enggan menggunakan kondom?
Sekiranyan pujukan dan cadangan anda tidak diterimanya, mungkin anda ingin mempertimbangkan untuk meniggalkan si dia yang lebih mementingkan dirinya dari nyawa anda.
Sekiranya anda telah berkahwin dan mempunyai anak, suami anda haruslah lebih bertanggungjawab sebagai seorang ayah. Fikirkanlah masa depan anak anda jika kedua-dua ibubapanya menghidap AIDS?
Dapatkan bantuan berkomunikasi
Memang diakui bahawa seks selamat adalah satu topik yang rumit dan sukar dibangkitkan, teruatamnya jika anda terpaksa bergantung kepada suami atau pasangan untuk menyara hidup anda. Ada juga wanita yang khuatir pasangan mereka akan bertindak ganas, mendera atau meninggalkan mereka. Jika anda perlukan bantuan, hubungilah Majlis AIDS Malaysia di talian (03) 445 1033 supaya kaunseling atau rujukan boleh diaturkan secepat mungkin.
Ia mungkin terselindung
Peringkat awal jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Anda mungkin kelihatan sihat dan berasa sihat sedangkan anda mungkin telah dijangkiti. Keadaan ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun. Keadaan ini sungguh merbahaya kerana virus yang terselindung itu sebenarnya boleh menjangkiti orang lain.
Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda telah dijangkiti HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV. Jika pasangan anda bersetuju, sebaik-baiknya anda mengambil ujian ini bersamanya. dapatkan kaunseling dan lakukanlah ujian ini sebelum anda hamil.
Sekiranya anda disahkan negatif-HIV (yakni selepas dua atau tiga kali ujian)*, anda boleh hamil tanpa rasa bimbang tetapi pastikan anda tidak dijangkiti sebelum, semasa dan selepas kehamilan. Sekiranya ujian tersebut menunjukkan keputusan positif, doktor anda akan memberikan nasihat lanjut supaya anda dapat menjalani kehamilan yang paling selamat bagi anda dan bayi.
*Ujian hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas kemungkinan jangkitan bagi membolehkan badana menghasilkan antibodi secukupnya untuk dikesan. Jika ujian kali pertama menunjukkan keputusan negatif, anda akan diminta menjalani ujian kedua selepas tiga bulan berikutnya.
Samada anda seorang yang positif-HIV atau tidak, jika anda hamil, anda perlu memastikan kesihatan anda sentiasa terjaga.
Wanita mana yang menghadapi risiko jangkitan HIV?
Semua wanita. Sebagai pihak yang menerima semasa hubungan seks, semua wanita terdedah kepada lebih risiko jangkitan, berbanding pihak lelaki.
Tidak kira tua, muda,, kaya, miskin, heteroseksual, dwiseksual, homoseksual, wanita bujang, berkahwin atau pernah berkahwin, semua wanita patut sedar tentang bahaya jangkitan HIV dan cara-cara untuk mengelakkannya.
Pencegahan
Hamil - tidak mahu! Jangkitan penyakit - jangan!! Kasih sayang dan seks - sudah tentu perlu yang itu! jadi bagaimana?
Seks yang lebih selamat
Dari segi perubatan, seks yang lebih selamat merujuk kepada seks yang tidak melibatkan pemindahan cecair badan kepada orang lain. Ini termasuk hubungan seks dengan menggunakan kondom dengan cara yang betul.
Seks juga tidak semestinya melibatkan persetubuhan. Sentuhan, ciuman, pelukan, mengurut dan melancap (dimana tiada sebarang luka atau rekahan kulit yang boleh memindahkan cecair badan) adalah aktiviti-aktiviti seksual yang lebih selamat.
Seks yang lebih selamat boleh mengelakkan kehamilan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Kondom : Perlindungan 2 dalam 1!
Elakkan kehamilan yang tidak dirancang
Elakkan risiko jangkitan
Tahukah anda bahawa kaedah-kaedah perancang keluarga selain daripada kondom seperti pil perancang, daifram atau spermisida (racun sperma) tidak boleh menghalang jangkitan HIV?
Untuk mengelakkan jangkitan atau kehamilan anda memerlukan bekalan kondom yang mencukupi serta keupayaan menggunaknnya atau meminta pasangan menggunakannya.
Cara menggunakan kondom lelaki
Pastikan kondom tidak melewati tarikh luputnya. Keluarkan kondom dari paketnya pakai dengan cermat.
Sarungkan kondom ke kepala zakar yang tegang dan picit hujung kondom bagi mengeluarkan gelembung udara di dalamnya.
Sambil terus memicit hujung kondom, lurutkan ia ke pangkal zaakar.
Jika perlu, bubuh pelincir berasaskan air seperti KY Jelly.
Setelah selesai hubungan seks, keluarkan zakar sebelum ia menjadi kendur. Pegang birai kondom rapat kepada zakar supaya air mani tidak tertumpah.
Tanggalkan kondom dengan cermat, simpulkan pangkalnya dan buangkan ke dalam tong sampah. (Jangan buang ke dalam mangkuk tandas.)
Namun sebagai wanita, anda mungkin ingin hamil.
Untuk hamil, seorang wanita perlu menerima air mani daripada seorang lelaki. Kerana itu, kehamilan tidak dapat lari dari risiko jangkitan HIV atau penyakit-penyakit kelamin jika pasangan anda mahupun anda sendiri pernah terdedah kepada jangkitan melalui perhubungan yang lain ataupun perkongsian jarum semasa penggunaan dadah.
Fikirkanlah semasak-masaknya sebelum anda merancang untuk hamil kerana ini melibatkan isu-isu penting seperti kesihatan anda dan juga bayi. Berbincanglah dengan pasangan anda dan dapatkan kaunseling. Anda boleh menghubungi Majlis AIDS Malaysia atau klinik wanita yang berhampiran.
Jika anda positif HIV dan ingin hamil, jangan bimbang, kerana rawatan perubatan yang mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko memindahkan virus HIV kepada bayi di dalam kandungan.
Risiko ke atas bayi
Wanita-wanita positif HIV mungkin memindahkan virus berkenaan kepada bayinya semasa kehamilan, semasa bersalin, atau semasa memberikan susu badan. Risiko jangkitan HIV dari ibu kepada bayi adalah lebih kurang 30%, tetapi boleh dikurangkan dengan:
Mengadakan hubungan seks lebih selamat sebaik sahaja disahkan hamil.
Meminimumkan hubungan seks tidak selamat semasa kesuburan dan mengelakkannya sama sekali di luar masa kesuburan dan selepas kelahiran.
Cuba mendapatkan doktor atau bidan yang dipercayai serta tempat bersalin yang selamat dan selesa seperti di rumah-rumah bersalin, juga, elakkan menahan kesakitan terlalu lama.
Melakukan pemeriksaan awal dan memberikan ubat anti-HIV seperti AZT kepada wanita berkenaan seawal bulan keempat kehamilan dan semasa bersalin, serta kepada bayi sebaik sahaja dialhirkan. (Ini mesti dilakukan di bawah pengawasan doktor).
Mengelakkan dari memberi susu badan atau menghentikannya seberapa segera yang boleh.
Mungkin juga anda tidak ingin hamil
kerana anda sudah mempunyai bilangan anak yang diinginkan.
kerana anda mempunyai anak yang masih kecil, dan anda ingin menjarakkan kelahiran.
kerana faktor usia atau mungkin kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.
satu lagi sebab penting mengapa wanita mengamalkan perancang keluarga ialah untuk mengelak dari melahirkan bayi yang mempunyai jangkitan virus merbahaya seperti HIV.
Sekiranya anda mendapat tahu anda positif HIV ketika sedang hamil, anda ada dua pilihan:
Teruskan kehamilan
Kehamilan boleh diteruskan sekiranya anda dan pasangan inginkan anak. Bagaimanapun, penjagaan kesihatan yang mencukupi semasa kehamilan dan sewaktu melahirkan anak hendaklah dititikberatkan. Amalkan seks yang selamat ketika anda hamil bagi mengurangkan risiko jangkitan. Juga, tanya doktor anda tentang kemungkinan mendapatkan rawatan anti-HIV (umpamanya AZT).
Pengguguran
Ada wanita melakukan pengguguran kerana tidak mahu mengambil risiko. Pengguguran melibatkan banyak isu, dan anda perlu berbincang serta mendapatkan nasihat sebelum membuat keputusan untuk melakukannya.
Apapun, jangan tergesa-gesa membuat keputusan. Fikirkan pilihan terbaik untuk anda, pasangan anda dan bayi.

Penjagaan untuk wanita positif HIV dan bayi
Semasa hamil
Jika anda mendapat tahu yang anda positif HIV semasa anda hamil, dapatkan pemeriksaan doktor dan kaunseling secepat mungkin serta penjagaan yang rapi sebelum bersalin. Jika ingin mengadakan hubungan seks semasa hamil, amalkan seks yang selamat. Sekiranya anda seorang pengguna dadah, berhenti dari mengambil dadah. Ini adalah masa yang sesuai untuk anda berbuat demikian. Mengambil dadah semasa hamil membahayakan kesihatan ibu dan bayi.
Bersalin
Anda dan bayi anda tidak perlu diasingkan tetapi penjagaan yang rapi harus diberikan. Adalah lebih baik sekiranya bidan dimaklumkan mengenai status HIV anda kerana ini mungkin dapaat membantu memastikan proses bersalin selamat bagi anda dan bayi, serta bidan, jururawat atau doktor yang menjaga anda.
Selepas bersalin
Bayi yang baru dilahirkan mempunyai antibodi ibunya, oleh itu adalah amat sukar untuk mengetahui sama ada bayi tersebut dijangkiti atau tidak. Ujian Antibodi HIV untuk bayi biasanya dilakukan bila umurnya sekurang-kurang 18 bulan. Jika bayi tersebut disahkan positif HIV, anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan rawatan perubatan yang intensif untuk bayi anda. Bayi boleh diimunisasikan dari sebarang penyakit kanak-kanak sama seperti bayi-bayi lain.
Elakkan memberi susu badan kepada bayi untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Talian bantuan
Dalam membuat apa jua keputusan berkenaan kesihatan dan kesejahteraan anda, jangan bertindak sendiri. Berbincang, meluahkan perasaan dan berkongsi masalah boleh membantu dalam membuat keputusan yang terbaik.
Keputusan terletak di tangan anda, tetapi doktor, pekerja sosial dan pertubuhan-pertubuhan wanita boleh membantu anda membuat keputusan yang sewajarnya. Jangan teragak-agak untuk menghubungi mereka bila anda memerlukan bantuan.
Majlis AIDS Malaysia (Unit Maklumat Rawatan)
(03) 4043 9711 or 4045 1033 ext. 202
Mon - Fri 9.00 am - 5.30 am

Hospital Kuala Lumpur
(03) 2692 1044 ext 5228/5238
Mon - Fri 9.00 am - 4.00 pm

Hospital Universiti
(03) 7956 4422
Mon - Fri 9.00 am - 4.00 pm

Telenita AWAM
(03) 7957 0224
Mon - Sat 9.00 am - 5.30 pm

Tenaganita
(03) 2691 3681/91
Tue - Sat 10.00 am -6.00 pm

Women's Aid Organization
(03) 7956 3488
Mon - Sat 9.00 am - 5.00 pm

Women's Crisis Center, Penang
(04) 228 0342
Mon - Sat 9.00 am - 6.00 pm

Community AIDS Service, Penang
(04) 229 9566
Mon - Fri 10.00 am - 5.00 pm


Ketahui hak-hak anda. Tuntut hak-hak anda.


Majlis AIDS Malaysia

Selasa, 15 April 2008

Love


cinta adalah sesuatu yang pelik dan baik. Ia dapat memberikan seseorang semangat yang luar biasa. Perasaan itu sangat penting untuk seseorang yang sihat.
kesimpulanannya perasaan cinta boleh membawa hidup yang sihat.

AING BEBUAK

AING BEBUAK ialah sejenis air bercampur lumpur. Aing Bebuak tersebut boleh melicinkan kulit dan menyembuhkan penyakit masalah kulit.
nak cuba? pergilah ke Kampung Telahak dan Kampung Meritam di Daerah Limbang.

Suami perlu amalkan untuk Bahagia

  Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan d t S p 5 o n s g h o r e d s    ·  30 tips untuk keluarga bahagia till jannah (for men only): 1. Kalau ister...